Kenapa Laila (How I Met My Wife) Episod 2 ©

Walaupun aku dah janji nak cerita pasal ex-girlfriends aku, tapi kecenderungan hakikinya lebih kepada si dia yang bernama Laila yakni isteriku. Apabila terkenangkannya pun dah buat aku melayang-layang, terbang menyusuri setiap memori...

Dulu, lepas break dengan ex-girlfriend aku yang terakhir, aku agak terkesan dengan pengakhiran hubungan itu. Apabila kita dah letak sepenuh harapan pada sesuatu, bagai hampir pasti harapan itu akan 'menjadi'. Tapi tak jadi! Rasa sengal urat-urat dalam kepala ni. Otak secara intensif menjalankan kaji selidik.

Perihal hajat tak sampai itu boleh diterima akal sebenarnya, namun sebab musabab harapan tak menjadi itu yang berlegar dalam fikiran. Apa sebabnya pun sampai sudah tak dapat nak faham. Hakikat putus cinta sebigini sebaiknya harus dijauhkan. Biar dia pergi jauh-jauh... akibatnya, longlai tubuh badan. Saat usia baru mencecah 21, pedoman tu agak kurang dalam dada... Itu yang buat duduk terjelepuk tepi tangga. Bila dah dewasa, dah jadi sang suami ni, bila kenang balik mesti rasa nak makiterajang je diri aku masa dulu tu. Sebenarnya takde apa pun yang sibuk nak dilayankan sangat.
Namun begitu, sesuatu itu terjadi untuk sesuatu. Bear in mind... Everything happens for a reason... itu kata mereka... Masa ni la aku adakan sesi intrapersonal. Cakap dengan diri sendiri, cari pengertian dan punca perpisahan la konon. Lame habis! Satu perkara terjadi untuk trigger satu perkara lain untuk berlaku.

Akhir suku ketiga tahun 2001,aku sebagai student di sebuah universiti swasta yang terletak nun jauh di tempat anak-anak jin bercanda, Cyberjaya. Tak lain tak bukan iaitu MMU. Apa pun takde. Yang ada hanya kering, kontang, panas & Street Mall. Zaman ni bebudak baya aku sememangnya sinonim dengan muzik. Layan semua jenis muzik dengan macam-macam genre. Masa ni jugak internet jadi kawan baik. Muat turun mp3 & video muzik jadi past time activity paling best. MMU pulak masa tu memang kaya dengan sumber MP3 & muzik video dan macam-macam, semua kongsi dalam intranet. Meriah habis! Muse, Incubus, System of A Down, Slipknot, Deftones, Korn, Limp Bizkit dan banyak lagi you name it. Dipendekkan cerita, zaman ni jugak, ramai yang layan muzik-muzik berkonsepkan band, pancaragam kata orang dulu-dulu. Ramai yang nak tubuhkan band sendiri. Termasuk aku. Tapi takde kaki nak ajak main muzik yang aku suka masa tu. Kiranya, cita-cita aku kene bekukan dulu sampai ketemu band member yang sebulu.

Perihal aku dan sidia, muzik pemula bicara. Muzik buat kami teruja, kerana muzik jadinya 'kami'... Hari tu hari Jumaat. Ada kelas pukul 8 pagi. Lepas solat subuh aku tidur balik, nak napping, snooze-snooze kejap. Nak lelapkan mata barang seminit dua la konon-konon. Lagi 15 minit kelas nak mula baru tersedar. Tapi masih buat relax, bersiap macam biasa, buat macam masa masih menyebelahi aku. Dulu aku duduk rumah sewa. Akibat tak dapat hostel. Pakat ramai-ramai dengan kengkawan cari rumah. Roommate aku masih dok terkangkang tidur sambil peluk bantal. Dia takde kelas hari ni. Jumaat dia memang best kerana Jumaat dia hari cuti.

Biasanya aku akan naik shuttle bus yang disediakan oleh MMU untuk angkut student dari rumah sewa ke kampus. Tetapi hari ni aku naik motor, aku pinjam motor Modenas Kriss roommate aku sebab hari ni ada beberapa perkara yang aku nak selesaikan lepas waktu kelas. Dari rumah aku meredah pagi dengan niat yang murni suci untuk mengaji. Aku tengok jam tangan aku dah 10 minit lepas 8, aku masih chill. Cuaca pun baik, matahari pagi elok je naik perlahan-lahan. Aku teruskan perjalanan dan akhirnya sampai ke destinasi pada jam 8.35 pagi.

Aku terus menuju ke lecture hall 3. Terkedek-kedek memanjat anak tangga. Lecture hall ni best sebab lecture hall ni saja kerusinya ada kusyen. Kiranya, kalau ada kelas yang agak bosan, napping pun selesa. Aku masuk dengan langkah yang agak berani. Masuk dari pintu atas. Langkah penuh yakin dan tenang. Aku tarik daun pintu dan lecture hall itu senyap sunyi. Kosong!

Jahanam. Kuliah ni ke yang batal atau aku yang salah lecture hall? Aku cuba intai lecture hall sebelah menyebelah, tapi ternyata penghuninya bukan dikalangan classmate aku. Tak mungkin kuliah dah bertukar venue dan diadakan di kelas biasa, kerana ramai yang ambil subjek ni. Kelas biasa memang tak muat. Perkara ini boleh jadi best atau pun sebaliknya. Best sebab takde kelas. Tak best sebab aku kene susah payah bangun pergi kelas yang dah batal.

Aku ambil keputusan untuk pergi ke cafe sebelah library untuk sarapan nama dia cafe Tau. Kebetulan di situ aku berjumpa 3 orang amoi, classmate aku yang sedang duduk menjamu selera. Aku tanya tentang kelas tu. Dia balas dengan senyum. "The class was cancelled. They put it up in the bulletin last night, but I didn't know as well". Aku chit-chat sekejap dengan amoi-amoi tu dan minta diri untuk keluar. Lupa terus tentang breakfast. Nak masuk balik rasa macam bengong pulak. Aku terus ke tempat letak motosikal.
Yang dah lepas, lantak kat situ. Sekarang aku perlu fikir untuk cari sampul surat saiz A3. Amanat dari abang aku, tolong hantarkan document untuk dia. Bukan main besar lagi document tu. Di sini la bermulanya perjalanan Jumaat penuh makna aku itu. Misi mencari sampul surat saiz A3. Kan ke pelik-pelik tajuk tugasan aku tu. Memang aku blur pagi tu. Tak boleh nak fikir, mana boleh aku cari benda-benda special request macam ni? Aku start motor dan teruskan perjalanan, keluar dari MMU tanpa ada idea dalam kepala…

Lepas satu tempat ke satu tempat aku lalu. Tapi tak berhenti pun. Aku layan je jalan raya tu. Ikut je mana tayar motor tu bergerak. Akhirnya aku sedar, aku berada di Petaling Jaya. Khayalan peringkat tinggi ni. Aku rasa macam lapar pulak. Dah dekat sejam lebih aku duduk atas motor. Aku singgah satu kedai mamak dekat dengan restoran A&W. Lepak situ makan roti pisang sama teh panas. Sambil- sambil duduk termenung tanpa motif. Sampai lupa langsung pasal sampul surat A3 tadi.

Tak sedar masa tu berlalu pantas. Bak kata kartunis Aie, ‘masa tak ada masa nak buang masa dengan kita’. Jam dah tunjuk pukul sebelas setengah. Dari Cyberjaya pukul sembilan, sampai sekarang apa pun tak buat lagi. Aku terus bayar duit makan tadi dan terus dengan pencarian sampul surat A3 yang misteri sangat tu. Soalnya di mana? Aku rancang nak teruskan perjalanan ke kawasan Asia Jaya. Kat situ ada banyak kedai dan ada pejabat pos sekali. Dekat pulak dengan Masjid Bulat. Senang aku nak solat Jumaat. Masa pun tak banyak yang tinggal. Aku cuba nasib di sana saja.

Cuaca panas! Trafik bergerak perlahan di flyover PJ Hilton, aku berhenti di lampu isyarat merah. Lama pulak lampu ni nak tukar hijau. Kalau macam ni hari-hari mau legam tangan dan muka. Adalah satu pengorbanan juga kepada mereka yang mencari rezeki dengan bermotosikal ke tempat kerja. Itu belum hujan lagi, tersadai bawah jambatan. Belum ambil kira risiko kene langgar dengan lori tu. Ini adalah bukti bahawa kehidupan ini sungguh ‘macam-macam’.

Ok, lampu pun dah hijau, aku terus tunggang motor dan sampai ke destinasi. Dah kelihatan orang berkopiah dimana-mana. Aku letak motor dan bergegas ke pejabat pos. Perkara pertama sekali aku buat adalah aku terus ke kaunter, bertanyakan pada akak yang jaga kaunter tu ada tak jual sampul surat A3. Akak tu pun jawab dengan penuh santun dan gembira. Ada…

Walaupun berita itu tak boleh nak capai tahap berita gembira mutlak, tapi kegembiraan kecil ini make my day sangat ni. Aku teruskan kerja-kerja penghantaran dokumen abang aku. Ambil nombor, duduk dulu, tunggu giliran, jumpa akak kaunter tu balik, sembang-sembang dengan akak kaunter tu sambil selesaikan urusan, bayar duit dan keluar.

Hampir pukul satu. Bacaan surah-surah dah mula berkumandang, hampir masuk waktu solat Zuhur. Aku terus ke tempat letak motor dan simpan semua yang ada di tangan. Aku simpan kemas-kemas barang-barang aku dalam compartment belakang motor. Tukar kasut dan pakai selipar, dan capai kopiah dalam beg. Teruskan berjalan kaki menuju ke masjid bulat. Sedang elok berjalan tu terpandang pulak kedai jual majalah dan surat khabar. Layan sekejap, barang seminit dua.

Aku mula baca tajuk utama berita sahaja. Dari satu akhbar ke akhbar yang lain. Selak bahagian sukan, nak tengok kalau-kalau ada berita menarik. Tengok pulak tabloid, sememangnya intipati, kisah-kisahnya semua yang pelik-pelik tak pon mesti cerita berbaur seks. Damn perv!  Bergerak pulak kebahagaian majalah. Mencari-cari majalah muzik. Macam-macam ada. Saja nak tengok. Nak beli memang tiada dalam perangcangan. Aku tak perasan ada seseorang disebelah kanan aku turut sama melihat majalah-majalah.

Seorang perempuan. Maybe dia pun browsing juga. Tidakku pandang pula wajahnya, kerana waktu itu aku lebih cenderung melihat muka surat yang sedang dibacanya. Terpampang gambar kumpulan Incubus dan ada artikel mengenainya. Tak tahu dari mana datangnya suara, aku terus berkata sesuatu indirectly kepada perempuan itu, sipembaca tadi.

“Bila agak-agak diorang nak datang sini eh?” Agak pelikkan perbuatan aku itu kan? Malah aku sendiri setuju bahawa ianya pelik. Tetapi ada yang lebih pelik berlaku selepas itu.

“Ha’ah eh. Tak pernah lagi singgah sini kan..?” Si pembaca tadi membalas. Ok... Nice voice…
Fenomena pelik itu masih berterusan. “Cerita pasal ape?” Aku tanya.

“Pasal next album, kata nak released Oktober ni.”

“Make yourself 99’ kan?”

“Ha’ah album tu best kan?” Dia pandang aku. Comel! 

Aku pandang dia. Dua saat, dan kami senyum. “Hmmm” aku anggukkan kepala sedikit tanda setuju. Dia teruskan pembacaan. Azan berkumandang, aku ubah pandangan ke jam tangan dan ke arah masjid. “Masuk waktu dah…” Dia pandang aku sekali lagi dan balas dengan senyuman.

“Bye”

“Bye”

Aku pun berlalu, menuju ke masjid. Dalam sedang mengatur langkah tu, aku terfikir macam nak patah balik, nak mintak contact number, berkenal-kenal ke... Aku berhenti dan toleh semula ke tempat dia berdiri. Dia masih terus membaca sambil menggalas sebuah beg guitar bass di bahu kanan. Main bass? Cool! Dalam hati dah terdetik perasaan pesimik “Bleh dapat ke? keep dreamin'...” Aku akur dan memilih untuk lupakan dan terus berjalan ke masjid.

Hakikatnya, itu lah isteriku Laila Nazeeha.

You May Also Like

0 comments